Benjamin Graham; Dari Perintis Wall Street ke Bapa Pelaburan Nilai 

Benjamin Graham; Dari Perintis Wall Street ke Bapa Pelaburan Nilai 

Benjamin Graham mengubah cara pelabur menilai saham dengan menekankan perbezaan antara harga pasaran sesebuah syarikat dan nilai asasnya. Sering dianggap sebagai Bapa Pelaburan Nilai, Graham membangunkan pendekatan berdisiplin yang berteraskan nilai intrinsik, kekuatan kewangan dan margin keselamatan, iaitu prinsip yang terus mempengaruhi pelabur berdekad-dekad kemudian. 

Namun apakah sebenarnya yang menjadikan pendekatan Graham begitu berpengaruh, dan bagaimana pelabur boleh menerapkan idenya pada hari ini? Dalam artikel ini, kami meneroka kehidupan awal Graham dan pengalaman yang membentuk falsafah pelaburannya; prinsip teras pelaburan nilai, peraturan penapisan saham, dan formula Nombor Graham; perbezaan pendekatannya dengan Warren Buffett; buku-bukunya yang paling penting; serta kesesuaian berterusan strateginya dalam pasaran hari ini.

Intipati Utama:

  • Perintis: Benjamin Graham ialah bapa analisis kewangan moden dan pelaburan nilai.
  • Falsafah Teras: Sentiasa mengekalkan “Margin Keselamatan” dan menganggap turun naik pasaran saham sebagai tawaran berasaskan emosi daripada “Encik Pasaran“.
  • Alat Praktikal: Mengembangkan 7 kriteria untuk pelabur defensif dan formula “Nombor Graham” yang popular.
  • Legasi: Menjadi mentor kepada Warren Buffett, mengubah pendekatan pelaburan daripada spekulasi semata-mata kepada penyelidikan asas yang teliti.

Jadi, Adakah Pelaburan Nilai Benjamin Graham Masih Relevan Hari Ini? 

Ya, pendekatan Benjamin Graham masih relevan, tetapi beberapa kaedah tradisionalnya perlu disesuaikan dengan pasaran moden. Walaupun peraturan penilaian tradisional mungkin tidak sesuai untuk setiap syarikat teknologi atau syarikat berpertumbuhan tinggi, prinsip terasnya mengenai nilai intrinsik, disiplin dan margin keselamatan kekal bernilai bagi pelabur. 

Jadi, formula khusus Graham mungkin tidak sesuai untuk setiap syarikat moden, tetapi pendekatan asasnya terhadap pelaburan yang berdisiplin, rasional dan berfokuskan nilai masih boleh digunakan. 

Perkara berikut menerengakan cara pendekatannya boleh disesuaikan dengan pasaran hari ini: 

  • Cabaran Pasaran Moden: Peraturan tradisional seperti P/E < 15 atau P/B < 1.5 mungkin kurang berkesan untuk syarikat teknologi dan syarikat berpertumbuhan tinggi masa kini. 
  • Prinsip Abadi: Walaupun ukuran penilaian boleh berubah, idea teras Graham tentang penilaian nilai intrinsik, pemahaman terhadap turun naik Encik Pasaran dan pengekalan margin keselamatan masih relevan. 
  • Menyesuaikan dengan Masa Kini: Pelabur boleh menggabungkan disiplin Graham dengan metrik moden seperti aliran tunai bebas, kualiti pendapatan dan kelebihan daya saing.  

Tahun-tahun Awal Graham, Dari Zaman Kanak-kanak hingga Wall Street 

Jauh sebelum dikenali sebagai Bapa Pelaburan Nilai, Benjamin Graham merupakan anak bongsu daripada tiga beradik lelaki dalam sebuah keluarga yang berpindah dari London ke New York ketika beliau baru berusia setahun. Bapanya menjalankan perniagaan menjual barangan rumah, tetapi meninggal dunia ketika Graham baru berusia sembilan tahun, lalu ibunya terpaksa membesarkan tiga orang anak lelaki seorang diri. Keluarga itu menghadapi masalah kewangan selepas kematian bapanya, memberikan Graham pemahaman awal tentang betapa cepatnya keselamatan kewangan boleh lenyap. 

Walaupun berdepan dengan cabaran ini, Graham merupakan seorang pelajar yang cemerlang. Beliau menamatkan pengajian di Columbia College pada tahun 1914 sebagai pelajar kedua terbaik dalam kelasnya ketika baru berusia 20 tahun. Walaupun Columbia menawarkan jawatan mengajar dalam bidang matematik, Bahasa Inggeris dan falsafah, beliau memilih untuk bekerja di Wall Street kerana beliau perlu membantu menyara ibunya dan adik-beradiknya. Keputusan itu menandakan permulaan kerjaya yang akhirnya mengubah cara pelabur melihat nilai dan risiko. 

Kerjaya awalnya mendedahkan beliau kepada keterujaan dan optimisme ketika pasaran saham sedang berkembang pesat. Namun kejatuhan pasaran saham 1929 memusnahkan keyakinan tersebut. Apabila harga saham merudum dan pelabur mengalami kerugian besar, Graham menyaksikan sendiri betapa bahayanya bergantung pada kenaikan pasaran atau jangkaan yang terlalu optimistik. 

Dari Spekulasi ke Analisis Sistematik 

Kejatuhan pasaran saham pada tahun 1929 mengukuhkan kepercayaan Graham bahawa pelaburan perlu melangkaui spekulasi dan keterujaan pasaran. Bersama David Dodd, seorang profesor di Columbia Business School, Graham membangunkan pendekatan yang lebih berdisiplin berdasarkan penelitian terhadap penyata kewangan, pendapatan, aset dan nilai asas sesebuah syarikat. Hasil kerja mereka akhirnya membawa kepada penerbitan Analisis Sekuriti pada tahun 1934, menjadi asas kepada rangka kerja yang lebih sistematik dan rasional untuk membuat keputusan pelaburan. 

Menerapkan Ideanya dalam Amalan

Graham tidak mengehadkan denya kepada buku dan penyelidikan pelaburan sahaja. Pada tahun 1936, beliau menubuhkan Graham-Newman Corporation, tempat beliau menerapkan prinsip pelaburannya dalam amalan. Firma itu melabur dalam sekuriti yang dinilai rendah dan menggunakan strategi seperti arbitraj dan posisi lindung nilai. Pendekatan analitik dan sistematik firma tersebut mencerminkan kepercayaan Graham bahawa penyelidikan yang teliti dan pembuatan keputusan yang berdisiplin dapat menyediakan asas pelaburan yang lebih kukuh dan boleh dipercayai berbanding spekulasi pasaran. 

Melalui penyelidikan, penulisan dan amalan pelaburannya, Graham membangunkan falsafah yang berteraskan pemahaman terhadap nilai asas sesebuah syarikat dan bukannya sekadar mengikuti harga pasaran. Idea ini menjadi asas pelaburan nilai dan mempengaruhi generasi pelabur.

Setelah meneroka kehidupan awal Graham dan pengalaman yang membentuk kerjayanya, kini tiba masanya untuk melihat prinsip utama yang mendasari falsafah pelaburannya.

Apakah Prinsip Teras Strategi Pelaburan Nilai Benjamin Graham? 

Strategi pelaburan nilai Graham berteraskan beberapa prinsip utama yang membantu pelabur membezakan antara harga dengan nilai sambil mengurus risiko. Prinsip ini menyediakan rangka kerja yang berdisiplin bagi membuat keputusan pelaburan. 

Core-Principles-of-Benjamin-Graham’s-Value-Investing-Strategy
  1. Nilai Intrinsik: Anggaran nilai sebenar sesuatu pelaburan berdasarkan kekuatan kewangan syarikat, pendapatan, aset dan prospek masa hadapan, bukannya harga pasaran semasa. Graham percaya bahawa pelabur perlu menganalisis faktor ini untuk menentukan sama ada sesebuah saham didagangkan di bawah nilai intrinsiknya. Matlamatnya adalah untuk mengelakkan pembelian pada harga yang terlalu tinggi dan mengenal pasti peluang apabila harga pasaran tidak mencerminkan sepenuhnya nilai asas syarikat.
  2. Margin Keselamatan: Salah satu konsep teras pelaburan Graham. Konsep ini merujuk kepada pembelian saham pada harga yang jauh lebih rendah daripada anggaran nilai intrinsiknya, menyediakan perlindungan terhadap kesilapan, masalah yang tidak dijangka atau kesilapan dalam analisis. Semakin besar jurang antara harga pembelian dengan nilai intrinsik, semakin besar potensi perlindungan daripada kerugian. 

Contoh: 

Jika seorang pelabur percaya bahawa sesebuah saham bernilai $50 tetapi membelinya pada harga $35, harga pembelian yang lebih rendah memberikan sedikit perlindungan sekiranya nilai sebenar saham tersebut ternyata lebih rendah daripada jangkaan. Perbezaan ini ialah margin keselamatan. 

  1. Pelabur Defensif berbanding Pelabur Aktif: Graham membahagikan pelabur kepada pelabur defensif dan pelabur aktif berdasarkan masa dan usaha yang sanggup mereka curahkan untuk pelaburan. Pelabur defensif mengutamakan kesederhanaan dan kestabilan dengan mengikuti peraturan pelaburan yang telah ditetapkan, memilih syarikat yang kukuh dari segi kewangan dan mengekalkan kepelbagaian pelaburan. Pelabur aktif pula sanggup meluangkan lebih banyak masa dan usaha untuk menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti pelaburan yang dinilai terlalu rendah dan peluang khusus. 

Nota:

Perbezaan utama terletak pada tahap penglibatan: pelabur defensif memilih pendekatan yang lebih mudah dan memerlukan kurang usaha, manakala pelabur aktif sanggup menjalankan penyelidikan yang lebih mendalam untuk mencari peluang yang menarik. 

  1. Encik Pasaran: Encik Pasaran ialah metafora Graham untuk menggambarkan tingkah laku pasaran saham yang emosional dan sukar diramal. Beliau membayangkan pasaran sebagai rakan kongsi perniagaan yang mungkin menawarkan harga yang sangat berbeza untuk pelaburan yang sama, bergantung pada sama ada rakan tersebut bersikap optimistik atau pesimistik. Pelabur tidak seharusnya membiarkan perubahan emosi ini mempengaruhi keputusan mereka atau menyamakan harga dengan nilai. Sebaliknya, pelabur boleh memanfaatkan harga yang menarik apabila pasaran menjadi terlalu pesimistik.

Contoh: 

Jika kebimbangan terhadap ekonomi menyebabkan pelabur panik dan menurunkan harga sesebuah saham daripada $50 kepada $35, pelabur yang mengikuti pendekatan Graham tidak akan panik dan menjual hanya kerana Encik Pasaran bersikap pesimistik. Sebaliknya, pelabur tersebut akan menilai asas syarikat dan menentukan sama ada harga yang lebih rendah menawarkan peluang yang menarik berbanding nilai asasnya. 

Namun, bagaimanakah Graham menerapkan prinsip ini dalam keputusan pelaburan yang praktikal? Peraturan penapisan saham dan Nombor Graham memberikan pelabur kaedah yang sistematik untuk mengenal pasti syarikat yang kukuh dari segi kewangan dan didagangkan pada penilaian yang menarik.

Apakah Peraturan Penapisan Saham Graham dan Formula Nombor Graham? 

Kriteria Penapisan Saham Graham: 

Penapisan saham ialah proses menggunakan peraturan kewangan tertentu untuk menapis saham dan mengenal pasti syarikat yang memenuhi keperluan pelaburan tertentu. 

Benjamin Graham membangunkan kriteria penapisan untuk membantu pelabur mengenal pasti syarikat yang kukuh dari segi kewangan dan didagangkan pada penilaian yang munasabah. Pendekatannya secara umum memberi tumpuan kepada saiz syarikat yang mencukupi, keadaan kewangan yang kukuh, pendapatan yang stabil, rekod dividen yang konsisten, nisbah P/E (harga-kepada-pendapatan) dan P/B (harga-kepada-nilai buku) yang sederhana, serta penilaian gabungan yang munasabah berdasarkan pendapatan dan nilai buku.

Kriteria ini direka untuk mengurangkan risiko dan menapis syarikat yang mempunyai asas kewangan yang lemah atau penilaian yang terlalu tinggi. Walaupun keperluan khusus berbeza mengikut jenis pelabur, matlamat keseluruhan adalah untuk mencari saham yang stabil dan dinilai rendah dengan margin keselamatan.

7 Kriteria Pemilihan Saham Defensif Graham: 

Bagi pelabur defensif, Benjamin Graham mencadangkan tujuh kriteria penapisan yang direka untuk mengenal pasti syarikat yang kukuh dari segi kewangan dan didagangkan pada harga munasabah. 

  1. Saiz Syarikat yang Mencukupi: Syarikat hendaklah cukup besar untuk mengurangkan risiko yang berkaitan dengan perniagaan yang lebih kecil. Graham berpendapat bahawa syarikat yang lebih besar secara umumnya berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi kemelesetan ekonomi dan cabaran perniagaan. 
  2. Keadaan Kewangan yang Kukuh: Syarikat hendaklah mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, dengan aset semasa yang mencukupi berbanding liabiliti semasa serta hutang jangka panjang yang boleh diurus. Kriteria ini membolehkan Graham mengurangkan risiko kewangan dan memilih syarikat yang mempunyai lembaran imbangan lebih kukuh. 
  3. Kestabilan Pendapatan: Syarikat hendaklah mencatatkan pendapatan positif bagi setiap tahun sepanjang 10 tahun yang lalu, yang menunjukkan keupayaan konsisten untuk menjana keuntungan.  
  4. Rekod Dividen yang Konsisten: Syarikat hendaklah membayar dividen secara berterusan selama sekurang-kurangnya 20 tahun, yang menunjukkan sejarah panjang pengembalian modal kepada pemegang saham. 
  5. Nisbah P/E Sederhana: Saham hendaklah mempunyai nisbah harga-kepada-pendapatan (P/E) sebanyak 15 atau kurang, bagi mengelakkan pelabur membayar harga yang terlalu tinggi berbanding pendapatan syarikat
  6. Nisbah P/B Sederhana: Saham hendaklah mempunyai nisbah harga-kepada-nilai buku (P/B) tidak melebihi 1.5, supaya harga pasaran kekal pada paras yang munasabah berbanding nilai buku syarikat. 
  7. Penilaian Gabungan Sederhana: Hasil darab nisbah P/E dengan nisbah P/B tidak boleh melebihi 22.5. Kriteria ini memberikan semakan tambahan untuk memastikan penilaian keseluruhan saham kekal dalam julat pilihan Graham. 

Nombor Graham: 

Nombor Graham ialah formula yang dibangunkan berdasarkan prinsip pelaburan nilai Benjamin Graham untuk menganggarkan harga maksimum yang mungkin dianggap munasabah oleh pelabur bagi sesebuah saham berdasarkan pendapatan dan nilai bukunya. Formula ini digunakan terutamanya sebagai alat penapisan untuk mengenal pasti saham yang mungkin dinilai rendah. Jika harga pasaran sesebuah saham berada di bawah Nombor Graham, keadaan ini mungkin menunjukkan bahawa saham tersebut didagangkan pada penilaian yang menarik. 

Nombor Graham dikira menggunakan formula berikut: 

Nombor Graham = √ (22.5 × EPS × BVPS) 

  • 22.5: Pemalar ini diperoleh dengan mendarabkan nisbah P/E maksimum Graham sebanyak 15 dengan nisbah P/B sebanyak 1.5 (15 × 1.5 = 22.5).  
  • EPS (Pendapatan Per Saham): Mengukur jumlah keuntungan yang dijana oleh sesebuah syarikat bagi setiap saham.  
  • BVPS (Nilai Buku Per Saham): Mewakili nilai aset bersih syarikat yang diperuntukkan kepada setiap saham.  
  • Tujuan formula: Dengan menggabungkan pendapatan dan nilai buku, Nombor Graham menmberikan anggaran nilai wajar sesebuah saham dan boleh digunakan untuk mengenal pasti saham yang mungkin dinilai rendah. 

Contoh: 

Andaikan sesebuah syarikat mempunyai EPS sebanyak $4, BVPS sebanyak $25 dan harga saham semasa sebanyak $40. Dengan menggunakan formula: Nombor Graham = √ (22.5 × 4 × 25) = √2,250 = $47.43

Oleh kerana harga saham semasa syarikat sebanyak $40 berada di bawah Nombor Graham iaitu $47.43, saham tersebut mungkin dianggap dinilai rendah berdasarkan formula ini. Keadaan ini mungkin menunjukkan bahawa saham tersebut wajar dipertimbangkan dengan lebih lanjut oleh pelabur yang mencari peluang saham yang dinilai rendah.  

Walau bagaimanapun, Nombor Graham sahaja tidak seharusnya menjadi satu-satunya alasan untuk membeli saham tersebut; pelabur juga perlu menilai kedudukan kewangan syarikat, prospek dan faktor penilaian lain sebelum membuat keputusan.

Keterbatasan Nombor Graham 

  • Input terhad; bergantung terutamanya pada EPS dan nilai buku.
  • Kurang sesuai untuk sesetengah syarikat: Nombor Graham mungkin kurang sesuai untuk perniagaan berpertumbuhan tinggi atau kurang berasaskan aset, seperti syarikat perisian, teknologi dan perundingan yang kurang bergantung pada aset fizikal. Sebagai contoh, sesebuah syarikat perisian mungkin mempunyai sedikit kilang, mesin atau inventori tetapi masih mampu menjana keuntungan yang kukuh dan mempunyai potensi pertumbuhan yang ketara. Oleh sebab Nombor Graham mengambil kira nilai buku, formula ini mungkin merendahkan anggaran nilai perniagaan sedemikian. 
  • Mengabaikan prospek masa hadapan; tidak mengambil kira pertumbuhan masa hadapan atau potensi pendapatan.  
  • Bukan ukuran kendiri; perlu digabungkan bersama análisis kewangan dan  analisis asas lain.  
  • Tidak menjamin saham dinilai rendah; saham yang didagangkan di bawah Nombor Graham tidak semestinya merupakan pelaburan yang baik.  

Selepas memahami peraturan penapisan dan formula penilaian Graham, mari kita lihat perbandingan pendekatannya dengan falsafah pelaburan Warren Buffett, salah seorang pelajarnya yang paling berpengaruh. 

Benjamin Graham vs. Warren Buffett: Bagaimana Strategi Pelaburan Mereka Berbeza? 

Sebelum membandingkan Benjamin Graham dengan Warren Buffett, penting untuk diperhatikan bahawa falsafah pelaburan Buffett sangat dipengaruhi oleh ajaran Graham. Buffett belajar di bawah bimbingan Graham di Columbia Business School dan kemudian bekerja di Graham-Newman, firma pelaburan milik Graham. Prinsip Graham mengenai nilai intrinsik, margin keselamatan dan pelaburan berdisiplin menjadi asas kepada pendekatan Buffett. 

Walau bagaimanapun, seperti yang ditunjukkan dalam perbandingan di bawah, Buffett secara beransur-ansur membangunkan gaya pelaburannya sendiri. Graham lebih menekankan kekuatan kewangan dan pembelian saham yang dinilai rendah pada harga yang menarik, Buffett mengembangkan prinsip ini dengan memberi tumpuan yang lebih besar kepada kualiti perniagaan, kelebihan daya saing dan pertumbuhan jangka panjang. 

Benjamin GrahamWarren Buffet
Falsafah PelaburanMemberi tumpuan kepada pembelian pelaburan pada harga di bawah nilai intrinsiknya, dengan penekanan kuat pada perlindungan daripada kerugian.Berasaskan prinsip Graham, tetapi memberi penekanan yang lebih besar kepada pemilikan perniagaan cemerlang untuk jangka panjang.
Margin KeselamatanKonsep teras; berusaha membeli saham pada harga yang jauh lebih rendah daripada anggaran nilai intrinsiknya.Masih penting, tetapi digabungkan dengan penekanan pada kualiti perniagaan.
Horizon MasaMemberi tumpuan kepada pembelian saham yang dinilai rendah dan mungkin menjualnya apabila harga pasaran mencapai anggaran nilai intrinsiknya. Namun, beliau juga mencadangkan pendekatan jangka panjang bagi pelabur defensif.Secara amnya, mengutamakan pemilikan jangka panjang dalam perniagaan yang kukuh.
Pertimbangan PertumbuhanMengambil kira pertumbuhan, tetapi memberi penekanan yang lebih besar kepada penilaian semasa, kekuatan kewangan dan margin keselamatan.Memberi penekanan yang lebih besar kepada pertumbuhan jangka panjang dan keupayaan sesebuah perniagaan untuk meningkatkan nilai secara berterusan.
DiversifikasiMengutamakan diversifikasi yang luas merentasi banyak saham yang dinilai rendah.Secara amnya, lebih mengutamakan tumpuan pada beberapa perniagaan yang difahaminya dengan baik dan diyakininya.
Konsep atau Petikan TerkenalEncik PasaranPasaran saham boleh bertindak secara emosional dan menawarkan harga yang berbeza bergantung pada sama ada pasaran bersikap optimistik atau pesimistik.Harga ialah apa yang anda bayar. Nilai ialah apa yang anda peroleh. (Menekankan perbezaan antara harga sesuatu pelaburan dengan nilai asasnya.).
Pengurusan RisikoMenggunakan margin keselamatan dan diversifikasi untuk memberikan perlindungan daripada kerugian.Memberi tumpuan kepada perniagaan berkualiti tinggi yang mudah difahami serta mengelakkan pelaburan apabila risikonya tidak difahami dengan baik.

Bagi pelabur yang ingin meneroka falsafah pelaburan Graham dengan lebih mendalam, boleh dikatakan bahawa Benjamin Graham dan Warren Buffett berkongsi asas teras yang sama dalam pelaburan nilai.  Perbezaan utama terletak pada perkara yang mereka tekankan semasa memilih pelaburan. Graham memberi penekanan yang lebih besar kepada penilaian, kekuatan kewangan, dan pencarian saham yang dinilai rendah, manakala Buffett, dengan berlandaskan prinsip Graham, memberi penekanan yang lebih besar kepada kualiti perniagaan, kelebihan daya saing, pengurusan yang kukuh, pertumbuhan jangka panjang, dan keupayaan untuk menggandakan nilai secara berterusan dari semasa ke semasa. 

Buku-bukunya menawarkan pandangan berharga mengenai idea dan prinsip yang membentuk pelaburan nilai. Mari kita lihat beberapa karya beliau yang paling berpengaruh. 

Apakah Buku Utama Benjamin Graham yang Wajib Dibaca oleh Setiap Pelabur? 

Buku Graham memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang prinsip, strategi dan kaedah analisis yang mendasari pendekatan pelaburannya. Daripada konsep yang mudah difahami oleh pemula hingga analisis kewangan yang terperinci, karya beliau menawarkan pelajaran berharga kepada pelabur pada pelbagai peringkat. Berikut ialah tiga buku terpenting beliau bagi sesiapa yang ingin memahami falsafah pelaburannya. 

Benjamin-Graham-Books

1- Analisis Sekuriti (1934): 

Ditulis bersama oleh Benjamin Graham dan David Dodd, Analisis Sekuriti sering dianggap sebagai “rujukan utama” dalam pelaburan nilai dan analisis kewangan. Buku ini menyediakan rangka kerja terperinci untuk menilai sekuriti berdasarkan faktor seperti pendapatan, aset dan kekuatan kewangan. Buku ini mengajar pelabur agar melihat lebih jauh daripada harga pasaran dan menilai nilai asas sesuatu pelaburan. Buku ini amat berguna untuk penganalisis profesional dan pelabur yang ingin memperoleh pemahaman yang lebih mendalam dan teknikal tentang analisis asas.

2- Tafsiran Penyata Kewangan (1937): 

Tafsiran Penyata Kewangan ialah panduan praktikal untuk memahami maklumat kewangan sesebuah syarikat. Buku ini menerangkan cara membaca dan menganalisis dokumen utama seperti lembaran imbangan dan penyata pendapatan. Graham menunjukkan kepada pelabur cara menggunakan data kewangan untuk menilai keuntungan, kedudukan kewangan, dan kekuatan keseluruhan sesebuah syarikat. Buku ini menyediakan asas yang berguna untuk membuat keputusan pelaburan yang lebih lengkap, jadi buku ini sesuai untuk pelabur pemula dan pembaca yang ingin belajar menganalisis penyata kewangan sebelum beralih kepada analisis pelaburan yang lebih lanjut.

3- Pelabur Bijak (1949): 

Pelabur Bijak ialah buku Benjamin Graham yang paling terkenal dan merupakan pengenalan klasik kepada pelaburan nilai. Buku ini menerangkan konsep utama seperti nilai intrinsik, margin keselamatan dan Encik Pasaran. Graham juga membezakan antara pelabur defensif dengan pelabur aktif berdasarkan tahap penglibatan dan toleransi risiko mereka. Buku ini menekankan disiplin, kesabaran dan keperluan untuk mengelakkan keputusan pelaburan yang dipengaruhi emosi. Oleh itu, buku ini dianggap paling sesuai untuk pemula yang ingin memahami asas pelaburan nilai dan membangunkan pendekatan jangka panjang yang berdisiplin dalam membuat keputusan pelaburan. 

Jadual Ringkasan Perbandingan:

Aspek PerbandinganAnalisis Sekuriti (1934)Tafsiran Penyata Kewangan (1937)Pelabur Bijak (1949)
Fokus UtamaAnalisis sekuriti dan analisis asas secara terperinciMemahami penyata kewanganPrinsip teras pelaburan nilai
Topik UtamaPendapatan, aset, penilaian dan kekuatan kewanganLembaran imbangan, penyata pendapatan dan kedudukan kewanganNilai intrinsik, margin keselamatan, Encik Pasaran, disiplin pelabur
TahapLanjutan dan teknikalSesuai untuk pemulaSesuai untuk pemula
Paling Sesuai UntukPenganalisis profesional dan pelabur berpengalamanPemula yang mempelajari analisis penyata kewanganPemula dan pelabur individu
Matlamat UtamaMempelajari cara menilai sekuriti secara mendalamMempelajari cara menilai keadaan kewangan sesebuah syarikatMembina pendekatan pelaburan jangka panjang yang berdisiplin

Pandangan Akhir

Warisan utama Benjamin Graham terletak berteraskan satu perbezaan asas: harga pasaran hanyalah harga yang ditawarkan oleh Encik Pasaran, manakala nilai intrinsik mencerminkan nilai sebenar sesebuah perniagaan.

Walaupun metrik kuantitatif yang ketat perlu disesuaikan dengan ekonomi moden yang kurang bergantung pada aset fizikal, prinsip abadinya—margin keselamatan, disiplin lembaran imbangan dan sikap tidak terbawa-bawa oleh volatiliti pasaran—kekal sebagai panduan utama bagi pelabur jangka panjang.

Penafian:

Maklumat yang diberikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan dan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat kewangan, pelaburan atau undang-undang. Pasaran kewangan, kriteria pemilihan saham dan formula penilaian yang dibincangkan—seperti yang diperkenalkan oleh Benjamin Graham—merupakan kerangka sejarah dan mungkin tidak sesuai untuk setiap pelabur atau keadaan pasaran moden. Sentiasa jalankan usaha wajar anda sendiri, nilai toleransi risiko anda dan dapatkan nasihat daripada penasihat kewangan bertauliah sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan.

Benjamin Graham; Dari Perintis Wall Street ke Bapa Pelaburan Nilai 

Table of Contents