Perdagangan Emas & Minyak: Apakah Pemacu Pasaran?
Emas dan Minyak merupakan aset strategik yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Kedua-dua komoditi merupakan yang paling aktif diperdagangkan dalam pasaran forex. Kedua-dua aset mempunyai persamaan dan perbezaan. Pedagang perlu sedar bahawa emas dan minyak saling berkait; penguasaan dalam kedua-dua bidang ini boleh meningkatkan strategi perdagangan mereka.
Mari kita teliti semua faktor yang mempengaruhi harga Emas & Minyak serta hubungan di antara kedua-duanya:
Asas Perdagangan Emas (Aset Pelindung Nilai):
Emas merupakan komoditi yang sangat bernilai dan dianggap sebagai penyimpan nilai, selain digunakan dalam perhiasan. Emas mempunyai aplikasi penting dalam bidang kejuruteraan, elektronik, dan perubatan. Komoditi tersebut merupakan aset strategik kerana mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam memberikan pulangan yang baik untuk jangka panjang serta sebagai perlindungan daripada kesan inflasi.

Emas turut dianggap sebagai pemelbagai yang berkesan dalam sesebuah portfolio kerana mempunyai korelasi negatif dengan ekuiti ketika pasaran merosot; malah, emas juga berpotensi memberikan pulangan positif ketika pasaran sedang berkembang. Emas merupakan aset yang sangat cair, penambahan walaupun sebahagian kecil pelaburan emas dalam proses peruntukan aset mampu meningkatkan pulangan portfolio yang diselaraskan dengan risiko, khususnya dalam portfolio gabungan saham dan bon. Pendekatan tersebut turut membantu mengurangkan volatiliti dan penurunan nilai portfolio.
Cara paling popular untuk melabur dalam emas dan meraih manfaat daripada turun naik harganya ialah melalui perdagangan emas dalam pasaran Kontrak untuk Perbezaan (CFD), yang membolehkan pelabur berdagang arah pergerakan sekuriti dalam tempoh yang sangat singkat. Kelebihan CFD Emas ialah memerlukan modal permulaan yang lebih rendah, menyediakan leveraj, dan pilihan jualan pendek, yang membolehkan pelabur meraih keuntungan daripada kedua-dua kenaikan dan penurunan harga emas.
Faktor yang Mempengaruhi Harga Emas:
Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi harga emas, antaranya ketidakpastian ekonomi, Inflasi, Kadar faedah, Peristiwa geopolitik, dan Penawaran serta permintaan.
- Penawaran dan Permintaan:
Penawaran dan permintaan merupakan faktor asas dalam menentukan harga emas. Semakin tinggi permintaan terhadap emas, semakin tinggi juga harganya; sebaliknya, apabila permintaan menurun, harga turut menurun. Tahap penawaran merangkumi pengeluaran perlombongan, aktiviti kitar semula, dan rizab bank pusat, yang semuanya boleh mempengaruhi ketersediaan keseluruhan dalam pasaran perdagangan emas. Sebaliknya, tahap permintaan berubah-ubah mengikut pelbagai faktor seperti pembuatan perhiasan, kegunaan industri, dan permintaan pelaburan. Walau bagaimanapun, permintaan terhadap emas boleh berkurangan meskipun penawarannya tinggi, disebabkan oleh situasi seperti kemelesetan, kadar faedah yang lebih tinggi, atau prestasi aset lain yang lebih baik, yang akhirnya mengakibatkan penurunan harga emas.
- Kadar Inflasi:
Inflasi merujuk kepada peningkatan harga barang dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi. Apabila ekonomi mengalami kadar inflasi yang tinggi, mata wang akan susut, mendorong orang ramai mencari aset pelindung nilai. Oleh itu, harga emas cenderung meningkat semasa tempoh kadar inflasi yang tinggi. Orang ramai lebih suka menyimpan wang mereka dalam bentuk emas kerana nilai emas cenderung meningkat dari semasa ke semasa. Semasa tempoh kadar inflasi yang tinggi, permintaan terhadap emas bertambah sebagai lindung nilai terhadap inflasi.
- Kekuatan Dolar AS:
Kekuatan dolar AS mempunyai hubungan songsang dengan harga emas. Memandangkan emas dihargakan dalam dolar AS, semakin kuat dolar, semakin rendah harga emas. Apabila dolar AS mengukuh, harga emas menjadi lebih mahal bagi pembeli antarabangsa, mengurangkan permintaan emas dan memberi tekanan menurun terhadap harga. Sebaliknya, dolar yang lebih lemah menjadikan emas lebih murah secara relatif, sekaligus mencetuskan peningkatan permintaan dan membolehkan harga emas naik. Sangat penting untuk memantau prestasi dolar AS bagi menjangka pergerakan harga emas.
- Rizab Bank Pusat:
Bank pusat di seluruh dunia cenderung memegang rizab emas yang ketara bagi mempelbagaikan rizab mereka. Memandangkan bank bertanggungjawab terhadap mata wang negara mereka, mereka perlu mempunyai rizab emas sebagai lindung nilai terhadap turun naik nilai, bergantung kepada kekuatan atau kelemahan ekonomi asas yang dilihat. Dasar bank pusat boleh memberi kesan kepada dinamik penawaran dan permintaan pasaran. Apabila bank pusat meningkatkan rizab emasnya, tindakan tersebut menandakan keyakinan terhadap logam kuning, sekaligus meningkatkan permintaan emas, kerana orang ramai biasanya mengikuti dasar bank pusat; akibatnya, harga emas meningkat. Sebaliknya, apabila bank pusat menjual rizab mereka, tindakan tersebut mungkin meningkatkan bekalan emas, berpotensi menurunkan harga. Selain itu, kadar faedah dan dasar monetari yang dilaksanakan oleh bank pusat turut mempengaruhi harga emas.
- Dasar Monetari & Kadar Faedah Bank Pusat:
Dasar bank pusat mempunyai kesan yang ketara terhadap harga emas. Sama ada mereka mengikuti dasar monetari pengembangan atau penguncupan, kedua-dua dasar boleh mempengaruhi harga emas. Jangkaan terhadap kadar faedah amat penting bagi pelabur emas, membantu mereka membuat keputusan termaklum tentang masa sesuai untuk membeli atau menjual emas.
Apabila dasar bank pusat bersifat pengembangan, bermakna kerajaan meningkatkan perbelanjaan dan menurunkan kadar faedah; dalam kes tersebut, pelaburan emas menjadi lebih menarik berbanding pelaburan berkadar faedah rendah, yang tidak menjana pendapatan, sekaligus menyebabkan harga emas lebih rendah secara relatif berbanding pelaburan lain. Akibatnya, permintaan terhadap emas mungkin meningkat, mendorong kenaikan harga.
Sebaliknya, apabila dasar bank pusat menjadi penguncupan, ini bermakna mereka akan menaikkan kadar faedah untuk menyokong mata wang dan menarik pelaburan, jadi semuanya berkaitan dengan kos peluang; pada masa ini, pelabur akan mengalihkan pelaburan mereka ke arah aset yang memberi faedah, mengurangkan permintaan terhadap emas dan berpotensi menurunkan harga emas.
Asas Perdagangan Minyak (Komoditi Tenaga):
Perdagangan minyak melibatkan pertukaran minyak mentah, komoditi penting dan sangat bernilai di dunia. Komoditi tersebut dianggap sebagai tulang belakang ekonomi global, sumber tenaga utama, dan bahan mentah yang kritikal. Minyak mentah digunakan di seluruh dunia.
Harga minyak amat sensitif kepada keadaan ekonomi global dan peristiwa geopolitik; harganya boleh menjadi tidak menentu dan berubah-ubah secara mendadak sebagai tindak balas kepada berita utama atau peristiwa yang tidak dijangka. Dinamik penawaran dan permintaan turut mempengaruhi harga minyak.
Perlu diambil perhatian bahawa pelbagai harga minyak diperoleh secara berbeza, seperti Minyak Mentah WTI, penanda aras bagi kontrak hadapan minyak yang diperdagangkan di Bursa Niaga New York CME, Minyak mentah Brent pula merupakan penanda aras antarabangsa yang digunakan di Eropah, Bakul OPEC merujuk kepada harga agregat untuk minyak yang dikeluarkan dan dieksport oleh negara-negara OPEC manakala Arab Saudi merupakan ahli utama organisasi tersebut. Perdagangan minyak juga boleh dilakukan melalui CFD. Oleh itu, anda boleh memanfaatkan kelebihan jualan pendek, modal permulaan yang lebih rendah, dan leveraj.

Faktor yang Mempengaruhi Harga Minyak:
Harga minyak boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor utama yang boleh menyebabkan turun naik harga yang ketara.
Memantau faktor-faktor tersebut amat penting bagi pedagang untuk mengelakkan risiko yang berpunca daripada volatilitit pasatan yang tidak dijangka. Dengan memerhati faktor utama yang mempengaruhi pasaran, anda boleh mengelakkan perdagangan pada waktu tersebut, atau menutup kedudukan terbuka anda.
- Penawaran dan Permintaan:
Pemacu utama harga minyak ialah keseimbangan antara penawaran dan permintaan minyak di peringkat global. Semasa bekalan terhad, harga minyak cenderung meningkat. Sebagai contoh, pada tahun 1970-an, krisis minyak berlaku, dan harga minyak meningkat tiga kali ganda disebabkan gangguan bekalan. Sebaliknya, lebihan penawaran atau permintaan yang melemah boleh menyebabkan harga minyak jatuh.
- Pertumbuhan Ekonomi Global:
Secara amnya, semasa tempoh pertumbuhan ekonomi global yang kukuh, harga minyak cenderung meningkat, dan semasa kemelesetan, harga pula cenderung menurun. Apabila ekonomi global berkembang, menunjukkan terdapat aktiviti industri yang tinggi, peningkatan pengangkutan, dan penggunaan tenaga yang berterusan, mengakibatkan permintaan yang tinggi dan kenaikan harga minyak. Sebaliknya, jika kemelesetan berlaku, bermakna penggunaan keseluruhan menjadi terhad, mengakibatkan permintaan yang rendah, dan seterusnya menyebabkan harga menurun.
Sebagai contoh, dunia telah menghadapi pelbagai krisis yang memberi kesan besar terhadap harga minyak, antaranya:
- Pada tahun 2008, berlaku krisis ekonomi dan kewangan global.
- Pada tahun 2020, perang harga antara OPEC/Russia.
- COVID-19, baru-baru ini, mengganggu rantaian bekalan global serta permintaan agregat dalam kedua-dua ekonomi pengeksport dan pengimport minyak.
- Sekatan perintah berkurung menyebabkan penurunan ketara dalam harga minyak di pasaran global, daripada $61 pada 2 Januari 2020, kepada $12 pada 28 April 2020.
- Peristiwa Geopolitik:
Semasa kejutan geopolitik, harga minyak dipengaruhi oleh aktiviti ekonomi yang merosot, yang memberi kesan negatif kepada rantaian bekalan dan meningkatkan volatiliti, akhirnya mendorong harga minyak naik. Khususnya, sebarang konflik atau ketidakpastian yang berlaku di wilayah pengeluar minyak, seperti Timur Tengah atau Russia, boleh menyebabkan gangguan dalam rantaian bekalan. Selain itu, sekatan atau larangan terhadap pengeluar minyak utama boleh memberi kesan kepada bekalan global, yang sering menyebabkan kenaikan harga.
- Keputusan OPEC:
OPEC bertanggungjawab untuk mengawal selia penawaran minyak bagi menetapkan harga di pasaran dunia. Organisasi negara-negara pengeksport petroleum merujuk kepada kumpulan 12 pengeksport minyak utama. OPEC menetapkan kuota pengeluaran serta menentukan bila untuk mengurangkan atau meningkatkan pengeluaran minyak. Keputusannya memberi kesan yang ketara terhadap bekalan global, yang seterusnya mempengaruhi harga minyak. Pedagang biasanya memantau mesyuarat OPEC dengan teliti bagi menjangka pergerakan harga pada masa depan.
Kesimpulan:
Perdagangan komoditi seperti emas dan minyak memerlukan pemahaman yang mendalam tentang faktor-faktor yang mempengaruhi harganya. Apabila berdagang aset strategik, adalah penting untuk mengetahui semua faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi harganya untuk meminimumkan risiko yang berkaitan dengan volatiliti harga. Kejayaan dalam perdagangan komoditi bergantung kepada penguasaan faktor-faktor utama yang mempengaruhi aset asas, pemilihan strategi perdagangan yang berkesan, serta penentuan toleransi risiko anda. Harus diingat bahawa perdagangan yang menguntungkan memerlukan pendekatan yang berdisiplin dan strategi yang sistematik.



