Analisis asas dalam perdagangan merupakan kaedah untuk menilai nilai intrinsik sesuatu aset melalui penilaian faktor ekonomi, kewangan, dan faktor pasaran kuantitatif atau kualitatif yang lain. Pendekatan ini membantu pedagang menentukan sama ada sesuatu aset dinilai terlalu tinggi atau terlalu rendah oleh pasaran, membolehkan mereka membuat keputusan perdagangan berdasarkan nilai yang dianggarkan dan bukannya semata-mata bergantung kepada analisis teknikal (pergerakan harga). Analisis asas mungkin termasuk pemeriksaan faktor ekonomi berkaitan seperti inflasi, kadar faedah, dan penunjuk mikroekonomi.
Apakah perbezaan antara Analisis Asas dan Analisis Teknikal?
Analisis asas berbeza daripada analisis teknikal. Apabila kita membicarakan aspek teknikal, ini bermaksud kita menganalisis apa yang dipaparkan pada carta perdagangan dengan menggunakan penunjuk, volum, corak, dan pelbagai alatan lain yang tersedia pada platform perdagangan bagi mengenal pasti titik masuk dan keluar yang berpotensi.
Sesetengah pedagang lebih gemar menggunakan analisis teknikal semata-mata semasa berdagang, dan mereka berpuas hati dengan carta yang menunjukkan arah pergerakan instrumen kewangan tersebut. Begitu juga, sesetengah pedagang lebih gemar menggunakan analisis asas, jadi mereka hanya berdagang berdasarkan peristiwa besar seperti keputusan yang dibuat oleh bank dan kerajaan, atau kejadian yang berkaitan dengan bencana alam.
Jangan terlalu mencari jawapan antara asas dan teknikal? , kerana tiada satu cara yang betul atau salah untuk diikuti semasa berdagang. Terserah kepada anda untuk memilih pendekatan yang paling sesuai dengan gaya perdagangan anda bagi memperoleh hasil terbaik menurut perspektif anda. Perlu diingat bahawa gabungan antara analisis teknikal dan asas boleh meningkatkan keputusan perdagangan anda, membolehkan anda membuat keputusan yang lebih bermaklumat serta mengelakkan risiko turun naik yang ketara akibat faktor asas yang tidak anda sedari.
Cara Berdagang Menggunakan Analisis Asas:
Dalam pasaran perdagangan forex yang dinamik, penting untuk memahami faktor makroekonomi yang memberi kesan ketara terhadap kestabilan ekonomi, pertumbuhan, dan dasar monetari sesebuah negara. Faktor-faktor ini turut mempengaruhi penawaran dan permintaan mata wang negara tersebut, menjejaskan nilai semasa dan masa hadapan. Oleh itu, apabila pedagang forex memantau dan mentafsir faktor-faktor makroekonomi ini, mereka dapat menganalisis trend jangka pendek dan jangka panjang serta menjangka pergerakan mata wang membolehkan mereka merangka strategi perdagangan yang bermaklumat.
Mari kita mendalami butiran di bawah.
Faktor Makroekonomi:
I. Pertumbuhan Ekonomi (KDNK):
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) mewakili jumlah nilai keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan dalam sempadan negara dalam tempoh tertentu. KDNK mencerminkan tahap kesihatan dan pertumbuhan ekonomi. Apabila KDNK meningkat, ini menunjukkan ekonomi sedang berkembang; sebaliknya, penurunan KDNK menandakan kelemahan atau kemelesetan ekonomi.
Pedagang forex memantau pengumuman KDNK dengan teliti kerana perubahan dalam angka tersebut boleh memberi kesan ketara terhadap pergerakan mata wang serta mendorong kerajaan membuat keputusan yang turut berupaya mempengaruhi pasaran. Oleh sebab itu, Pedagang biasanya cuba menjangka pengeluaran data KDNK dan meletakkan perdagangan mereka berdasarkan data tersebut.
Terdapat pelbagai reaksi terhadap KDNK yang dipantau rapat oleh pelabur:
- KDNK dikeluarkan lebih rendah daripada jangkaan:
Apabila angka KDNK sesebuah negara dikeluarkan lebih rendah daripada jangkaan, hal ini menunjukkan kemerosotan ekonomi dan prestasi yang mengecewakan, yang boleh menyebabkan mata wang kehilangan nilai berbanding mata wang lain. Sebagai contoh, apabila KDNK Amerika Syarikat lebih rendah daripada jangkaan, hal tersebut menunjukkan bahawa dasar monetari mungkin memutuskan untuk melonggarkan kadar faedahnya atau tidak menaikkannya. Perkara tersebut menjadikan pelaburan dalam Dolar Amerika Syarikat kurang menarik. Justeru, dolar mungkin menyusut.
- KDNK dikeluarkan seperti yang dijangkakan:
Apabila angka KDNK sesebuah negara dikeluarkan seperti yang dijangkakan, harga mata wang cenderung berdagang secara bercampur tanpa hala tuju yang jelas. Dalam situasi sebegini, pedagang biasanya mencari butiran tambahan untuk mentafsir kemungkinan seterusnya, mendorong pelabur meneliti angka KDNK dari beberapa tahun terdahulu atau tempoh yang sama pada tahun sebelumnya untuk tujuan perbandingan bagi mendapatkan pemahaman yang lebih menyeluruh.
- KDNK dikeluarkan lebih tinggi daripada jangkaan:
KDNK yang melebihi jangkaan lazimnya menguatkan mata wang sesebuah negara dan mencerminkan bahawa ekonominya merupakan persekitaran perniagaan yang menarik. Keadaan ini meningkatkan keyakinan pengguna dan merangsang aktiviti ekonomi dalam negara. Sebagai contoh, jika KDNK Amerika Syarikat diumumkan lebih tinggi daripada jangkaan, kita mungkin melihat Dolar Amerika Syarikat mengukuh berbanding mata wang lain.
II. Inflasi:
Inflasi mengukur kadar perubahan kuasa beli wang dari semasa ke semasa, serta perubahan beransur-ansur dalam harga barangan dan perkhidmatan. Apabila harga meningkat akibat inflasi, setiap unit wang menjadi kurang bernilai.
Kadar inflasi merujuk kepada harga purata bagi sekumpulan barangan dan perkhidmatan terpilih dalam tempoh setahun. Kadar inflasi yang tinggi menunjukkan harga meningkat dengan cepat, manakala kadar inflasi yang lebih rendah menunjukkan peningkatan harga yang lebih perlahan.
Sebagai tindak balas kepada kadar inflasi, bank pusat menyatakan bahawa kadar inflasi yang lebih tinggi boleh mendorong mereka menaikkan kadar faedah bagi mengehadkan kenaikan harga. Kadar faedah yang lebih tinggi akan menjadikan sesebuah negara lebih menarik untuk pelaburan asing disebabkan kadar faedah yang tinggi, dan dengan itu, mata wang negara tersebut akan mengalami peningkatan nilai.
Sebagai contoh, apabila Bank Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah, hal akan menjadikan dolar lebih menarik untuk negara asing melabur, disebabkan kadar faedah yang tinggi. Jadi kita cenderung melihat indeks Dolar Amerika Syarikat meningkat dalam kes tersebut; sebaliknya, jika Bank Rizab Persekutuan menurunkan kadar faedah, dolar Amerika Syarikat kehilangan peningkatan nilai.
III. Kadar Faedah:
Perubahan kadar faedah oleh bank pusat lazimnya memberi kesan kepada pasaran pertukaran asing. Kadar faedah bertindak balas terhadap penunjuk ekonomi, jadi sebarang perubahan mengejut dalam kadar tersebut mungkin akan mempengaruhi pedagang.
Kadar faedah mewakili peratusan faedah ke atas prinsipal. Sama ada sebagai pulangan kepada pemberi pinjaman atau sebagai caj ke atas peminjam. Kadar tersebut merupakan kos hutang peminjam dan kadar pulangan bagi pemberi pinjaman.
Apabila anda mengambil pinjaman, anda akan membayar prinsipal berserta peratusan tambahan sebagai pampasan kepada pemberi pinjaman. Jumlah tambahan tersebut dianggap sebagai pulangan bagi pemberi pinjaman dan sebagai kos pinjaman untuk peminjam.
Bagaimanakah perubahan kadar faedah memberi kesan kepada pasaran mata wang, saham, dan komoditi?
- Bagi pasaran mata wang, apabila bank pusat sesebuah negara menaikkan kadar faedah, mata wang negara tersebut menjadi lebih menarik kepada pelaburan asing, yang akan meningkatkan nilai mata wangnya berbanding mata wang lain. Sebaliknya, kadar faedah yang lebih rendah boleh menyebabkan mata wang menyusut nilainya.
Sebagai contoh, katakan BOE memutuskan untuk menurunkan kadar faedah, dan Bank Rizab Persekutuan berhasrat untuk mengekalkan kadar faedah yang lebih tinggi atau menaikkannya. Dalam keadaan tersebut, GBP akan menyusut nilainya disebabkan hasil pulangan faedah yang lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat. Pada masa yang sama, dolar Amerika Syarikat akan mengukuh disebabkan jangkaan kenaikan kadar faedah, yang akan mempengaruhi pergerakan GBP/USD.
- Bagi Pasaran Saham, kadar faedah yang lebih tinggi akan memberi kesan negatif kepada harga saham disebabkan peningkatan kos pinjaman, yang mengurangkan keuntungan syarikat dan memperlahankan aktiviti pengembangan. Tambahan pula, keadaan ini akan menyebabkan saham menjadi kurang menarik berbanding aset berisiko rendah seperti bon, kerana kadar faedah yang lebih tinggi akan meningkatkan kadar diskaun yang digunakan untuk menilai pendapatan masa hadapan sesebuah syarikat.
- Bagi Komoditi, pertimbangannya adalah tentang kos peluang; kadar faedah yang lebih tinggi berpotensi menjadikan aset seperti komoditi (aset yang tidak menghasilkan pulangan) kurang menarik berbanding aset yang menjana pulangan faedah.
Kadar faedah merupakan pemacu asas yang penting dalam pasaran kewangan, yang mesti dipantau oleh para pedagang. Data ekonomi ini boleh membantu mereka menjangka pergerakan pasaran dan membuat keputusan perdagangan yang lebih bermaklumat.
IV. Pengangguran:
Kadar pengangguran mengukur peratusan tenaga kerja yang sedang mencari pekerjaan. Kadar tersebut merupakan penunjuk penting kepada tahap kesihatan ekonomi dan dipantau rapat oleh bank pusat ketika menetapkan dasar monetari, terutamanya yang berkaitan dengan kadar faedah.
Kadar pengangguran yang tinggi menunjukkan keadaan ekonomi yang tidak sihat dan menjejaskan penggunaan dan produktiviti sesebuah negara, yang boleh melemahkan keyakinan terhadap mata wang negara tersebut dan menyebabkan kejatuhan nilainya. Sebaliknya, kadar pengangguran yang rendah mencerminkan ekonomi yang sihat dan menyumbang kepada pengukuhan nilai mata wang.
Dari perspektif sentimen pasaran, kadar pengangguran yang rendah meningkatkan keyakinan dan menambah selera risiko, yang boleh menggalakkan permintaan terhadap mata wang berpulangan tinggi dan aset modal. Sebaliknya, kadar pengangguran yang tinggi akan mengurangkan selera risiko dan menyokong permintaan terhadap mata wang pelabuhan selamat atau aset tanpa pulangan seperti emas dan perak.
V. Dasar Fiskal:
Dasar fiskal merujuk kepada perbelanjaan dan percukaian kerajaan yang digunakan untuk mempengaruhi keadaan ekonomi, sama ada ketika berlaku kemelesetan atau semasa pertumbuhan. Semasa kemelesetan, kerajaan akan meningkatkan perbelanjaan dan mengurangkan cukai bagi merangsang aktiviti ekonomi. Sebaliknya, apabila inflasi meningkat, kerajaan cenderung menaikkan kadar faedah dan mengurangkan perbelanjaan bagi memperlahankan pertumbuhan ekonomi.
Terdapat dua jenis dasar fiskal:
- Dasar fiskal mengembang: kadar cukai yang lebih rendah, perbelanjaan kerajaan yang tinggi bagi meningkatkan permintaan agregat, dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Dasar ini meningkatkan keyakinan pelabur dan mengukuhkan mata wang dalam jangka panjang, manakala kesan serta-merta terhadap pasaran mungkin bercampur dan tidak menunjukkan hala tuju yang jelas bagi mata wang.
- Dasar fiskal mengetat: kadar faedah yang lebih tinggi serta pengurangan perbelanjaan kerajaan merupakan langkah untuk mencegah atau mengurangkan kadar inflasi.
Dasar ini memberikan kesan yang bertentangan dengan dasar fiskal mengembang, jadi pelabur mungkin mengurangkan keyakinan disebabkan peningkatan kos pinjaman dan bersikap lebih berhati-hati dalam aktiviti perdagangan. Mereka cenderung menumpukan pada aset pelabuhan selamat pada masa tersebut dan mengelakkan aset dan mata wang berfaedah.
VI. Dasar Monetari:
Dasar monetari merujuk kepada satu set tindakan yang diambil oleh bank pusat untuk mengawal bekalan wang dan mencapai pertumbuhan ekonomi. Terutamanya melalui pelarasan kadar faedah dan alatan seperti pelonggaran kuantitatif dan pengetatan kuantitatif, QE bermaksud bank pusat menyuntik kecairan ke dalam pasaran (menambah bekalan wang) untuk merangsang ekonomi melalui pembelian aset (Bon Kerajaan). QE boleh melemahkan mata wang; manakala, QT merupakan kitaran sebaliknya, iaitu apabila bank pusat menyerap kecairan (mengurangkan bekalan wang) daripada pasaran, yang akan mengukuhkan mata wang.
Pedagang perlu memerhati dengan teliti data dan peristiwa ekonomi utama, termasuk sebarang mesyuarat dan ucapan oleh pembuat dasar berkaitan faktor-faktor utama tersebut, semasa berdagang dalam pasaran pertukaran asing. Sebarang perubahan dalam dasar ini akan mempengaruhi pergerakan harga mata wang asas, membolehkan pedagang menjangka peralihan harga berdasarkan faktor makroekonomi tersebut.
Indeks ekonomi utama yang perlu diberi perhatian oleh pedagang:
Dua indeks utama dipantau rapat oleh bank pusat apabila membuat keputusan kadar faedah Pedagang juga perlu memberi perhatian kepada indeks ini untuk menjangka keputusan bank pusat berkaitan dasar kadar faedah, yang akan membantu mereka memperhalusi strategi perdagangan.
- Indeks Harga Pengguna- CPI:
Indeks Harga Pengguna (CPI) mengukur perubahan keseluruhan harga bagi sekumpulan barangan dan perkhidmatan dari semasa ke semasa. Indeks tersebut menunjukkan perubahan dalam bentuk peratusan berdasarkan bulan ke bulan (MoM) dan tahun ke tahun (YoY).
CPI Teras merupakan angka pilihan utama bagi bank pusat kerana tidak mengambil kira komponen makanan dan bahan api yang tidak menentu, dan ini memberikan data yang lebih tepat. Apabila CPI teras melebihi paras 2%, hal ini lazimnya menunjukkan bahawa bank pusat akan menaikkan kadar faedah untuk mengawal kadar inflasi yang semakin meningkat, dan sebaliknya. Apabila CPI jatuh menghampiri atau di bawah paras 2%, bank pusat berkemungkinan akan menurunkan kadar untuk menyokong ekonomi dan memperlahankan kadar deflasi.
Secara umum, kadar faedah yang tinggi menarik aliran masuk modal, yang menguntungkan mata wang; ini juga boleh membantu mengurangkan inflasi tinggi akibat barangan dan perkhidmatan import. Sebaliknya, apabila kadar inflasi menurun, perkara sebaliknya akan berlaku. Oleh sebab itu, pedagang perlu memantau indeks ini dengan teliti untuk meramal reaksi pasaran selepas data dikeluarkan, sama ada melepasi atau berada di bawah ambang 2%. Langkah ini membolehkan pedagang membuat keputusan perdagangan yang lebih bermaklumat dan mengurangkan pendedahan kepada risiko yang tidak perlu.
- Indeks Harga Pengeluar- PPI:
Indeks Harga Pengeluar (PPI) mengukur purata perubahan harga barangan dan perkhidmatan dari perspektif pengeluar atau pembekal perkhidmatan. Bacaan PPI yang tinggi menunjukkan bahawa kos pembuatan adalah tinggi dan mengalami inflasi, yang menandakan potensi kenaikan kadar faedah serta memberikan implikasi positif terhadap mata wang negara. Sebaliknya, bacaan PPI yang rendah menunjukkan bahawa kos pembuatan yang sederhana dan boleh diterima, meramalkan penstabilan atau penurunan kadar faedah, yang akan memberi kesan negatif kepada mata wang negara.
Indeks harga pengeluar (PPI) mengukur inflasi di peringkat borong, manakala indeks harga pengguna (CPI) mencerminkan harga di peringkat pengguna. Kedua-duanya diterbitkan secara bulanan. Kedua-dua set data inflasi digunakan untuk menilai arah trend keputusan kadar faedah.
Kesimpulan:
Analisis asas meneliti semua faktor yang mempengaruhi nilai intrinsik mata wang menggunakan alatan seperti KDNK, inflasi, kadar faedah, pengangguran, serta dasar fiskal/monetari. Analisis ini merangkumi data ekonomi penting, seperti CPI dan PPI, untuk membantu pedagang menjangka keputusan bank pusat serta reaksi pasaran. Ini berbeza dengan analisis teknikal, yang memberi tumpuan kepada corak carta dan penunjuk teknikal di platform, yang digunakan untuk mentafsir sama ada sesuatu mata wang terlebih nilai atau terkurang nilai. Oleh itu, pedagang disarankan untuk menggabungkan kedua-dua analisis teknikal dan asas apabila berdagang untuk memperbaiki strategi mereka dan memantau masa perdagangan mereka.